Skip to main content
Zang Sefikra · Wilayah Catatan Zairulfikri Raya

Kembali ke Bahasa Arab

Alhamdulillah, setelah sudah sekian lama tidak menjengah ke ruangan ini, Allah masih beri lagi peluang untuk menaiktaraf blog ini untuk kelihatan lebih moden dan kompak, bermatlamat untuk menzahirkan kesyukuran atas segala nikmat Allah yang telah diberikan kepada hambaNya yang fakir ini.

Benar, lama sungguh aku menyepikan diri. Bermula dari keputusan penutupan akaun Facebook, Instagram, X dan segala macam media sosial sehingga sunyinya status Whatsapp dari segala celoteh dan kongsi buat seberapa ketika.

Sebenarnya, segala kesunyian maya ini ialah salah satu usaha kecil diri untuk memahami dan meraikan kehadiran seorang teman setia mulia hingga ke hujung nyawa, satu insan yang Allah anugerahkan, takdirkan, titipkan dan hadiahkan buat diri dan kehidupan yang fana ini. Bahkan, sebenarnya untuk kembali merenung ke dalam diri, dan menggali hakikat sebenar kehidupan, amal usaha, dan jalan usaha yang mahu ditempuh.

Betapa Maha Baik dan Maha Pemurahnya Allah, setelah seberapa sejenak berubahnya status diri daripada bujang kepada seorang suami muda, Dia menganugerahkan pula kepada kami seorang anak gadis, membuatkan muncullah pula seorang bapa baharu di dunia ini, dengan segala serba kurang dan lemah dayanya. Walau bagaimanapun, menyedari sememangnya penumpuan terhadap keluarga itu akan semakinlah meningkat dan memberat, tetaplah digagahi dan jalani jualah kehidupan yang serba rencam ini.

Ya, Allah itu juga Tuhan Yang Maha Menguji sekalian hambaNya, maka tiadalah terlepas sang fakir ini daripada diuji dari segala macam ujian, dalam bentuk susah dan senang, bahagia dan derita, suka dan sengsara. Salah satunya, Dia telah menguji diri ini dengan memberikan pilihan dua jalan usaha utama, bahkan tiga sebenarnya, namun aku akhirnya memilih untuk masih setia di ruang usaha utama yang sama, maka dengan kelemahan diri ini maka bermuram durjalah buat beberapa ketika, ditipu iblis dan syaitan dan terpedaya dengan fatamorgana palsu, hinggalah Allah hadirkan keselamatan, perlindungan yang akhirnya telah mengubah duka kepada cahaya, membuka jalan yang tiada disangka, dan peremajaan semula jiwa dan rasa.

Allah-lah Tuhan yang di balik semua ini. Dialah yang sedang memperkenalkan Diri-Nya dalam segala macam hal dan keadaan. Saban hari, rupanya hidup ini ialah suatu perkenalan seorang hamba dan Tuhannya.

Hari ini, berkat hadirnya kalam seorang insan yang telah setidaknya memberikan sedikit nestapa pada jiwa, maka berubahlah rutin pagi, mudah-mudahan, daripada kebiasaan biasa kepada suatu kebiasaan baharu yang lebih menguji, rencam dan menarik, yakni mendalami dan mengulangi semula amanah Bahasa Arab yang telah Allah hadiahkan, tak lama dahulu. Berubahnya akan perbuatan itu mudah-mudahan agar dapatlah menghormati kata-kata insan itu, kerana ada benarnya juga, dan mengakulah juga sedikit sebanyak akan kealpaan, keghairahan dan keasyikan diri ini. 

Sebenarnya, banyak lagi yang mahu dikongsi, banyak penelitian yang mahu dizahirkan pengamatannya. Namun untuk rencana pada kali ini, biarlah terhenti setakat ini terlebih dahulu.

اللَّهُمَّ صُنْ وُجُوهَنَا بِالْيَسَارِ، وَلَا تُوهِنَّا بِالِإقتارِ

"Ya Allah, peliharalah maruah kami dengan kelapangan (rezeki), dan janganlah Engkau hinakan kami dengan kesempitan hidup (kemiskinan dan kepayahan rezeki)."

Moga segalanya untuk penzahiran mutlak:

LA ILAHA ILLALLAH MUHAMMAD RASULULLAH

Terima kasih.

Al-Faqir Ila Allah
Abdullah wa Abd Al-Qadir 
Muhammad Zairulfikri bin Zailani








Comments