Apabila matahari menyinari bumi, dan reseptor mata menangkap cahaya matahari,
Cahaya yang sampai itu ialah cahaya yang telah dipancarkan oleh matahari kira-kira lapan minit yang lalu,
Sungguh ajaib.
Cahaya yang lewat sampai lapan minit itu, pada pemerhatian pelihat, cahaya itu ialah cahaya pada waktu itu.
Padahal ia adalah cahaya lapan minit yang lalu,
Cahaya 8 minit yang lewat itu ialah cahaya yang telah menghidupkan, dengan izin-Nya, seluruh alam ini dan memastikan rantaian makanan tetap ada,
Bahkan ada yang pernah mengatakan, sekiranya matahari tiba-tiba hilang dari sistem suria, kita memerlukan lapan minit untuk kita sedar bahawa matahari itu telah hilang.
Tetapi adakah kita akan memerlukan lapan minit itu untuk menyedari kehilangan matahari itu?
Jika difikirkan, bumi akan melayang-layang keluar dari garisan akibat sudah tiada tarikan graviti matahari dan akan menyebabkan dunia kita punah.
Mungkin. Hanya suatu sangkaan. Perlu penelitian mendalam.
Apa yang aku cuba nak sampaikan sebenarnya ini?
Entahlah,
Aku fikir ibarat semacam ada hikmah atau ada sesuatu yang boleh diambil ibrah daripada fakta alami ini.
Tetapi setelah menulis ini, aku sedang cuba mengorek apakah ia.
Bolehkah aku ibaratkan, matahari itu ialah punca rahmat, ataupun platform pahala yang telah pun memancar dalam hidup,
Namun pancaindera kita masih belum dapat menangkapnya, namun ia sudah pun terpancar
Apabila ia telah tiba, barulah pancaindera kita dapat menikmatinya.
Walhal ia telah pun ada semenjak beberapa ketika.
Jika pancaindera kita masih belum dapat menangkapnya, adakah kita bersalah?
Adakah kita bersalah kerana kita belum lagi merasa nikmatnya saat ia sedang mula memancar dan sentiasa memancar?
Ataupun,
Perlukah kita mengubah posisi kita dan berusaha menghampiri punca nikmat itu, untuk pancaindera kita dapat menangkapnya dengan lebih cepat?
Aku rasa yang kedua itu, jika kita tidak sabar atau mahu mengecapi akan hal itu.
Tetapi jika mahu akan hal yang kedua itu, maka perlulah kita keluar dari "goldilock zone" itu.
Tetapi perlu diingati, kita bukannya bumi. Jika bumi keluar dari "goldilock zone" itu, maka ia akan mati.
Tetapi jika kita keluar dari "goldilock zone" kita, mungkin kita akan "mati" sementara, namun kita sedang mewujudkan "goldilock zone" kita yang terbaharu.
Malah lebih menghampir punca nikmat. Dan kita akan dapat mengecapi rasa nikmat itu dengan lebih pantas.
Namun untuk itu, kita perlu berusaha, bekerja keras.
Bukan senang untuk keluar dari "goldilock zone" itu. Ya. Benar.
Usaha ini amat memerlukan daya melawan graviti yang cukup kuat.
Mungkin memerlukan bertan-tan bom atom untuk mengurangkan jisim untuk meringankan bumi jika mahu bumi berpindah kawasan, menghampiri matahari,
Maka begitulah mungkin akan perihal diri ini, memerlukan tan-tan bom atom untuk memusnahkan jirim-jirim kemalasan, kejahatan dan dosa jiwa jika mahu menghampri punca nikmat.
Dan keluar dari "goldilock zone"
Ya, mungkin inilah yang aku mahu sampaikan hari ini.
Dari matahari dan pengamatan terhadapnya, maka inilah yang dapat kutulis.
Projek New Goldilock Zone
Bermula.
(Punca Nikmat: Allah)

Comments
Post a Comment