Sudah dua bulan lebih kepulangannya. Namun hari ini, bila terkenang kembali, secara spontan, air mata ini mengalir.
Setitik.
Dua titik.
Tiga titik.
Empat titik.
Akhrinya air mataku membasahi bantal dan cadar katil.
Segalanya bermula apabila salah seorang rakanku memuat naik gambar seekor kucing sedang duduk di atasnya dalam satu Whatsapp Group.
Lalu aku pun berasa ingin berkongsi juga akan hal yang membawa tema yang sama - kucing, dan ingatanku tertumpu ke arah kenangan bersama Anyet.
Maka aku berusaha memindahkan fail dari komputer riba ke telefonku, lalu aku berkongsikan video Anyet sedang bermain dengan sejadahku.
Setelah berkongsi, aku perasan, sudah lama tak menonton gelagatnya.
Aku tonton sekali. Kemudian, tonton sekali lagi. Dan tonton sekali lagi. Berulang-ulang kali. Melihat gelagatnya mengacau aku usai solat dengan menjadikan sejadahku sebagai permainannya.
Kemudian, aku tutup telefon, dan berbaring secara meniarap, lalu menutup mata.
Fikiranku terus menerus mengimbau kenangan aku dengan Anyet,semenjak pertama kali dia hadir dalam hidupku.
Tak disengajakan, tiba tiba kenanganku terarah kepada suatu peristiwa, beberapa hari sebelum Anyet pergi buat selama-lamanya. Ketika itu, aku sedang tidur di ruang tamu. Kemudian aku terjaga. Aku melihat Anyet sedang berehat berhampiran denganku. Lalu aku terus bangun, dan mengucup dahi Anyet, sambil kata
"Sayang Anyet"
Aku tak tahu kenapa, secara spontan aku bertindak sebegitu pada waktu itu. Namun tidak kusangka, rupanya kucupan itulah yang aku ingat hingga hari ini, rasanya, reaksinya yang diam sahaja, dan akhirnya, air mata aku mengalir sambil menahan sebak.
"Alhamdulillah, aku masih ada jiwa" kataku kepada diriku sendiri untuk menenangkan diri.
Sifat penyayang dalam diriku terlalu menebal. Masakan tidak aku menangis sebegini walhal dia sudah dua bulan lebih pergi!
Oh ya. Anyet bukan kucingku. Namun, dialah adikku.
Anyet. . .
Dia kepunyaan Allah. Terima kasih Allah kerana telah menghadirkannya dalam hidupku.
Comments
Post a Comment