“I have no regrets. I have spent my life, so much of it, building up this country. There’s nothing more that I need to do. At the end of the day, what have I got? A successful Singapore. What have I given up? My life.” — Lee Kuan Yew Kata-kata Lee Kuan Yew dan renungan Zairulfikri II. Assalamu‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera, Para Pembaca Zang Sefikra Apa khabar? Saya berdoa semoga saudara/saudari dan keluarga sentiasa berada dalam lindungan Allah, dikurniakan kesihatan serta dipermudahkan segala urusan. Sudah lama saya tidak bertanya khabar sesetengah sahabat. Ada yang mengenali saya sejak sekolah, universiti, kerjaya, perniagaan, masjid atau pada suatu persimpangan hidup yang mungkin sudah lama kita tinggalkan. Mungkin saudara/saudari pernah mengenali versi diri saya yang berbeza-beza. Karangan ini ialah usaha untuk menceritakan bagaimana semua versi tersebut sampai ke hari ini. Langkah 1 Seorang anak kecil dan sebuah negara kecil Seorang kanak-kanak yang belum mengetahui panjangnya jalan yang bakal dilalui. Dahulu ada seorang anak kecil bernama Zairulfikri. Dia belum mengetahui panjangnya jalan yang bakal dilalui. Dia juga belum tahu bahawa suatu hari nanti dia akan menggunakan bahasa sebuah negara untuk memahami pergolakan dalam dirinya sendiri. Kata-kata Lee Kuan Yew sudah lama tinggal dalam fikiran saya. Singapura ialah sebuah negara kecil, sumbernya terbatas dan kedudukannya pernah rapuh. Namun, ia dibangunkan melalui perancangan, disiplin dan kesungguhan untuk terus hidup. Dalam bahasa kiasan peribadi saya: Singapura ialah Zairulfikri. Ini bukan bermaksud saya menyamakan diri dengan sebuah negara atau mendakwa diri setaraf dengan mana-mana tokoh. Ia hanyalah cara saya memahami amanah mengurus diri. Kiasan visual “Zairulfikri = Singapura”: disiplin membangunkan sebuah negara diri. Jika sebuah negara mempunyai rakyat, “rakyat” dalam diri ialah anggota tubuh, fikiran, emosi, kebolehan dan kecenderungan. Jika negara mempunyai perbendaharaan, perbendaharaan diri ialah masa, wang, kesihatan dan tenaga. Jika sebuah negara boleh runtuh kerana salah urus, manusia juga boleh musnah apabila nafsu, ego dan kelalaian mengambil alih pentadbirannya. Ibrah tentang ketegasan memimpin—dalam konteks ini, memimpin diri sendiri. Bahasa luaran yang saya gunakan mungkin berbentuk negara, kerajaan, akta dan pilihan raya. Namun, kerangka dalamannya ialah muhasabah, tazkiyah al-nafs, adab dan amanah—berpaksikan لَا إِلٰهَ إِلَّا اللّٰهُ، مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللّٰهِ. Langkah 2 Era Muhammad I: banyak yang dijanjikan Saya menamakan fasa sekitar 2015 hingga 2021 sebagai era Muhammad I. Saya mempunyai banyak cita-cita. Saya menulis rancangan, membina lambang dan mencipta pelbagai sistem untuk mengurus kehidupan. Saya bercakap tentang masa depan dan mahu membina sesuatu yang besar. Namun, semakin masa berlalu, semakin saya terpaksa mengakui satu kenyataan yang pedih: saya pandai menggubal peraturan, tetapi belum pandai memerintah diri sendiri. Banyak janji tidak ditunaikan. Masa dibazirkan. Tidur tidak teratur. Kesihatan diabaikan. Solat, amanah dan hubungan sesama manusia tidak sentiasa dijaga sebagaimana sepatutnya. Dari luar, Muhammad I mungkin kelihatan penuh keyakinan. Di dalam, ada seorang manusia yang penat, berserabut dan sedang kehilangan kawalan terhadap dirinya. Catatan ketika berhadapan salah faham—disimpan sebagai sebahagian daripada arkib muhasabah. Perkara paling menyakitkan bukan apabila orang lain tidak memahami saya. Perkara paling menyakitkan ialah apabila saya sedar bahawa sebahagian teguran mereka memang benar. Langkah 3 Hari Muhammad I dimansuhkan Pada 13 Februari 2021, saya duduk di hadapan sehelai dokumen yang dinamakan Akta Pemansuhan 2021. Pada kertas itu, saya menyenaraikan nama, identiti, sikap dan tabiat lama yang mahu ditinggalkan. Dokumen itu ditandatangani, dicop dan berkuat kuasa pada 14 Februari 2021.
Catatan: Akta Pemansuhan 2021.
Dokumen asal Akta Pemansuhan 2021. Arkib Akta Pemansuhan 2021 dalam Portal Muhasabah Raya. Ia bukan undang-undang negara. Ia hanyalah surat pengakuan seorang manusia kepada dirinya sendiri: cara hidup lama tidak boleh diteruskan lagi. Ada sesuatu yang mesti mati supaya sesuatu yang lebih baik boleh dilahirkan. Namun, tabiat buruk tidak mati hanya kerana kita menulisnya di atas kertas. Luka tidak sembuh hanya kerana kita menamakannya. Muhammad I dimansuhkan pada dokumen, tetapi bayang-bayangnya masih hidup di dalam diri. Langkah 4 Kerajaan Diri Interim: zaman tanpa nama Pada 11 Oktober 2021, bermulalah Pelan Pemulihan Zairulfikri (Interim) selama 126 hari. Ia bukan zaman kemenangan. Ia zaman membaiki apa yang telah lama rosak. Catatan portal: Pelan Pemulihan Zairulfikri (Interim). Dokumen asal Pelan Pemulihan Zairulfikri (Interim) 2021. Tidur perlu disusun semula. Tubuh perlu diselamatkan. Masa perlu dipelihara. Amanah perlu diselesaikan. Solat dan hubungan dengan Allah perlu dibina kembali. Pemulihan itu dilakukan dengan sangat tegas—kadangkala terlalu tegas sehingga hampir tiada belas kasihan terhadap diri sendiri.
Sebahagian dokumen disiplin lama yang kini turut dinilai semula melalui Muhasabah Raya. Ada hubungan yang terpaksa dilepaskan. Ada teguran dan arahan keluarga yang terpaksa ditelan dan diterima. Ada impian lama yang terpaksa dikebumikan. Ada air mata yang tumpah namun tidak pernah dilihat sesiapa. Pada waktu itu saya belajar bahawa manusia boleh kehilangan nama dan identiti lamanya sebelum dia menemukan siapa dirinya yang baharu. Catatan ketegasan : sanggup bermula semula atau menghentikan sesuatu yang merosakkan. Langkah 5 Bermulanya Zairulfikri II Daripada tempoh pemulihan itulah bermulanya era Zairulfikri II. Dia bukan manusia sempurna. Dia masih melakukan kesalahan, masih lalai dan masih mempunyai nafsu serta ego. Namun, dia cuba membina semula hidupnya. Sedikit demi sedikit, Allah membuka jalan. Ada pekerjaan dan pengalaman dalam kewangan korporat. Ada peluang mengajar al-Quran. Ada amanah di masjid. Diamanahkan sebuah perkahwinan yang tidak bermula dengan cinta, tetapi bermula dengan percaya dan azam pengukuhan asas La Ilaha Illallah Muhammad Rasulullah, dengan tema "Kerana Iman Harapkan Pahala" dan "Raikan Ibadah". Alhamdulillah, Allah masih jaga ikatan yang paling berat ini Namun, perjalanan ini tidak sentiasa indah. Pada tahun ini, saya diuji dengan sakit dada membawa saya beberapa kali ke hospital. Inilah kali pertama saya dikejarkan ke hospital menaiki ambulan. Pengalaman itu memaksa saya bertanya: jika hidup ini berhenti lebih awal daripada yang dirancang, apakah yang sebenarnya telah saya bina? Seorang Zairulfikri yang kelihatan berjaya—atau seorang hamba yang bersedia kembali kepada Allah? Langkah 6 Muhasabah Raya 2026 Pada 7 September 2026, saya memulakan Muhasabah Raya selama 40 hari, sehingga 16 Oktober 2026, mudah-mudahan. “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah disediakannya untuk hari esok.” — Surah al-Hashr, ayat 18 Muhasabah Raya ialah pilihan raya yang berlaku di dalam diri. Ia bukan pertandingan antara parti politik sebenar. Setiap hari ialah satu kerusi dan setiap keputusan ialah satu undi: adakah diri memilih Kalimah Syahadah, ego atau hawa nafsu? Ketika azan berkumandang, siapa yang menang? Ketika marah, siapa yang memerintah? Ketika wang menjadi sempit, siapa yang menentukan keputusan? Ketika tiada manusia melihat, hukum siapakah yang benar-benar ditaati? Langkah 7 “A successful Zairulfikri” Saya belum layak berkata bahawa saya tidak mempunyai penyesalan. Masih ada hak manusia yang mungkin belum dipulangkan, hati yang pernah dilukakan, janji yang belum sempurna dan kesalahan yang hanya diketahui Allah. Saya berharap agar segala yang telah dikorbankan tidak berakhir dengan sebuah nama, jenama atau cerita tentang diri sendiri. Kejayaan sebenar bukan apabila manusia mengenali nama saya. Kejayaan sebenar ialah apabila diri ini tunduk kepada Allah, mengikuti Rasulullah ﷺ, menjaga keluarga, memulangkan hak manusia dan membawa manfaat sebelum kembali ke tanah. Itulah maksud Hidup Keselamatan: La Ilaha Illallah ialah hakikat Hidup; Muhammad Rasulullah ialah jalan Keselamatan.
Tiada penyesalan—mudah-mudahan segala usaha kembali kepada Kalimah Syahadah. Langkah 8 Jalan pulang itu bernama masjid Daripada seluruh perjalanan ini, saya semakin memahami bahawa manusia tidak boleh berubah dengan semangat dan dokumen sahaja. Kita memerlukan tempat untuk kembali. Bagi seorang Muslim, tempat itu ialah masjid. Atas sebab itu, saya menerima amanah sebagai Wakil Aplikasi Qiyam Federal/Persekutuan (WAQF) dan jurucakap utama Qiyam. Qiyam membantu kita mencari masjid, melihat waktu solat, mendaftar masuk ketika hadir serta menjejaki kesinambungan kehadiran. Mata, streak dan carta kedudukan bukan tujuan ibadah. Qiyam hanyalah alat. Tujuannya tetap Allah. Jika kita sudah lama meninggalkan masjid, jangan tunggu sehingga menjadi baik untuk kembali. Kembalilah ke masjid supaya Allah membantu kita menjadi lebih baik. Mulakan langkah kecil - Muat turun dan daftar dalam aplikasi Qiyam.
- Mulakan satu waktu solat berjemaah yang boleh dijaga secara istiqamah.
- Daftar masuk apabila hadir ke masjid.
- Sertai Clan Muhasabah Raya Umum menggunakan kod FZ5997.
Langkah 9 Jika saya pernah bersalah Jika saya pernah mengambil hak, mengecewakan, mengabaikan, bercakap kasar atau menyakiti hati saudara/saudari, saya memohon maaf. Saya tidak mahu kisah “membangunkan Zairulfikri” dibayar dengan hati manusia yang saya tinggalkan dalam keadaan terluka. Tegurlah saya. Tuntutlah hak yang masih belum dipulangkan. Ruang pemulangan hak, teguran dan islah disediakan melalui Portal Muhasabah Raya. Terima kasih kerana pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup saya—walaupun mungkin hanya sebentar. Setiap pertemuan meninggalkan sesuatu. Ada yang meninggalkan ilmu, kenangan suka dan duka serta luka dan doa yang hanya saya fahami nilainya setelah bertahun-tahun berlalu. Jika sudi, komenlah pada karangan ini. Saya benar-benar hargainya. Doakan agar saya mampu menyelesaikan perjalanan ini dengan benar. Bukan sekadar mempunyai cerita yang indah, tetapi amal yang diterima Allah. Mudah-mudahan, apabila segala ini berakhir, saya mampu berkata:
Tiada penyesalan. Saya telah menghabiskan hidup untuk membangunkan diri yang diamanahkan Allah.
Apa yang saya peroleh? Seorang Zairulfikri yang kembali kepada Tuhannya.
Apa yang saya korbankan? Keinginan diri yang lama. Salam hormat dan salam persahabatan, Muhammad Zairulfikri bin Zailani Zairulfikri II Hidup Keselamatan Wakil Aplikasi Qiyam Federal/Persekutuan (WAQF) Jurucakap Utama Qiyam |
Comments
Post a Comment