Semasa makan malam tadi, usai solat Isyak berjemaah di Masjid, terilham kepadaku kaedah untuk membebaskan Masjid Al-Aqsa.
Sebelum aku menzahirkan apakah yang telah terilham, aku ingin membicarakan soal atau frasa kata 'membebaskan'.
'Membebaskan' ialah suatu kata kerja yang cukup berat. Hanya mampu dilaksanakan oleh mereka yang benar-benar mahu ia dibebaskan daripada sesuatu yang mereka tidak suka.
'Membebaskan' memerlukan suatu daya usaha yang gigih.
'Membebaskan' memerlukan suatu passion yang amat jitu.
'Membebaskan' memerlukan keringat dan impiannya perlu menjadi hala tuju seluruh perlakuan kehidupan.
Asal muasal lahirnya ilham aku itu ialah, usai Isyak tadi, aku dengar imam berdoa 'Ya Allah, bebaskanlah Masjid Al-Aqsa".
Namun hati aku berbicara tatkala doa itu diungkapkan - bahawa Allah tidak akan membebaskan Masjid Al-Aqsa sehinggalah kita memulakan usaha secara jitu, secara padu, secara kolektif, secara bersekutu untuk membebaskannya. Barulah Allah akan memberi pertolongan.
Namun tunggu sebentar, apakah nilai Masjid Al-Aqsa sekiranya Masjid-Masjid di sekitar kita pun tidak dihiraukan?
Aku bermuhasabah diri.
Dan sewaktu makan malam itu aku menyedari, jika benar kita cintakan Al-Aqsa, aku, dan seluruh kaum Muslimin, perlu passionate dan gilakan semua Masjid.
Perlu Imarahkan.
Dengan itu, baru sedar nilaian Masjid Al-Aqsa itu akan mula meresap dalam sanubari seluruh kaum Muslimin.
Namun bagaimana?
Mengapa kita tidak ke Masjid?
Mengapa?
Mengapa hanya pilih solat di rumah?
Aku rasa kerana mengejar keduniaan.
Tahu, mengejar keduniaan seperti bekerja dan mencari duit itu pun suatu ibadah.
Namun jika solat 5 waktu itu pun dilewatkan, tidak menyertai solat jemaah, ia menggambarkan seolah-olah nilai Masjid itu lebih rendah dari nilai yang keduniaan yang kita kejar walhal pada hakikat sebenarnya...
Jadi seluruh kaum Muslimin sebenarnya perlu insaf bahawa ada yang lebih bernilai.
Akhirat.
Sebentar,
Ada suatu lagi yang menghalang kita dari ke Masjid pada waktu solat.
Ketakutan yang ditimbulkan oleh hawa nafsu yang tidak berasas.
Seperti jika ke Masjid, kerja akan tidak siap pada waktu, jualan akan kurang, perniagaan akan terganggu, malah produktiviti akan menurun.
Akhirnya akan hilang pekerjaan dan merugikan perniagaan, padahal ada komitmen-komitmen kehidupan yang perlu dilangsaikan.
Jadi kaum Muslimin perlu sedar, ada sesuatu yang lebih besar yang perlu ditakutkan.
Kemurkaan Tuhan Yang Maha Besar.
Kehilangan keberkatan masa.
Kehilangan peluang untuk memperbaiki diri, membersihkan jiwa dan bersilaturahim yang akan rupanya, melemahkan lagi jiwa dan raga.
Sebentar,
Ada suatu lagi sebab: Mungkin ini jawapannya.
Hawa Nafsu.
Hawa Nafsu yang merampas pemerintahan jasad diri dan menidakkan hak kepimpinan jiwa yang beriman kerana lemahnya Iman untuk ke Masjid dengan menguatkan perasaan malas atau lebih terleka dengan perkara-perkara hiburan yang menyeronokkannya dan tidak pada jiwa pada hakikat sebenarnya.
Jadi kaum Muslimin perlu sedar yang Iman perlu memimpin jasad dan bukannya Hawa Nafsu.
Ia memerlukan usaha yang jitu sebenarnya untuk menumbangkan kepimpinan Hawa Nafsu dalam Kerajaan Diri yang sentiasa cuba membeli jiwa dengan keseronokan yang sangat sebentar, sekejap, sedikit dan secoet.
Maka, dengan keterangkuman kesedaran-kesedaran ini, berbekalkan keimanan, dengan tenaga yang Allah kurniakan, perlulah aku dan kaum Muslimin bergerak ke Masjid dengan penuh kesedaran, dan hargailah setiap Masjid yang berdekatan.
Ini akan menambahkan rasa kecintaan kepada Al-Aqsa.
Dan jika telah cukup insan dan kaum Muslimin yang mengimarahkannya, maka kita boleh bergerak bersama ke Tanah Suci sana.
Suatu pergerakan dengan penuh faham nilainya. Dengan penuh sedar nilainya. Bukan hanya sekadar rasa marah, rasa benci kepada Orang-Orang Jahat di sana.
Tetapi atas kesedaran yang tiada nilainya.
Tidak ternilai.
Untuk akhirat yang kekal dan untuk kenikmatan sebenar yang abadi di sana.
Maka benarlah slogan: Al-Aqsa akan terbebas jika Solat Subuh menyamai Solat Jumaat - suatu kempen yang sedang giat dilaksanakan.
Aku ingin menambah baik slogan itu.
Al-Aqsa akan terbebas jika Solat Subuh, Solat Zohor, Solat Asar, Solat Maghrib dan Solat Isyak seperti Solat Jumaat!
Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur.
Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).
Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan kami ialah Allah".
Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; -
Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.
(Surah al-Hajj- 38-41)
Comments
Post a Comment