Kosong.
Itulah yang sedang aku alami saat ini.
Walau sebanyak mana rakaat solat sunat,
Walau sebanyak mana istighfar dan selawat,
Kekosongan masih setia menghantui, mengacau ruang jiwa dalam diri ini.
Bangun pagi dalam keadaan yang lesu dan mandom.
Malah kadang-kala aku tidak mahu bangun pagi pun -- mahu meneruskan tidur.
Entah kenapa, semangat yang berkobar-kobar, bahkan apa yang kini aku fikirkan terlalu pelik dan melampau -- lenyap begitu sahaja -- dan aku ini ibarat robot -- tiada perasaan, tiada rasa, dan kosong.
Fungsi - aku merasakan aku tidak berfungsi dengan sebenar-benarnya.
Ibarat pen yang tidak digunakan untuk menulis.
Ibarat buku tulis yang terbiar kosong.
Ibarat blog yang langsung tak pernah dikemas-kini.
Ibarat kereta yang tidak bergerak, membawa tuannya ke tempat yang ingin dituju - bahkan kini - aku tidak tahu ke manakah hala tuju hidup ini.
Tiada sebarang usaha luar biasa dizahirkan.
Kerana semangat untuk menzahirkan usaha itu tidak ada.
Bahkan tidak tahu sudah apa yang mahu dizahirkan.
Kembali kepada fungsi -- fungsi itulah yang menjadi faktor kebahagiaan sesuatu.
Doktor yang berfungsi, polis yang berfungsi, pelajar yang berfungsi - dengan kefungsian yang dirasai oleh mereka yang berfungsi dengan jayanya sehari-hari -- maka -- kepuasan hidup akan hadir dalam sanubari.
Beruntunglah mereka yang berfungsi.
Diri ini, tiada fungsi.
Fungsi itu apa sebenarnya?
Adakah fungsi itu, suatu keadaan jaya oleh pelaku pembawa fungsi kepada sesuatu?
Contohnya, penulis yang berfungsi ialah penulis yang berjaya menulis -- atau membawa fungsi menulis kepada audiens penulisannya.
Audiens -- siapakah audiens kehidupan ini?
Mungkin inilah kerelevenan ayat ' Hidup untuk menggapai redha Allah' -- Seluruh perlakuan adalah untuk mempersembahkan kepada Allah, bahawa kita sedang berusaha menggapai redha-Nya.
Tetapi bagaimana?
Apa usaha itu -- bentuknya?
Tidak memasukkan ibadah wajib -- tetapi semuanya berkait dengan ibadah wajib.
Sebenarnya, adakah kita semua ini sudah berjaya?
Atau semakin hari semakin sengsara -- keadaan ekonomi negara dan dunia kini, politik yang kacau-bilau.
Bahagia itu apa sebenarnya?
Adakah di sini tempat bahagia?
Layakkah bahagia?
Ia suatu anugerah atau ujian?
Bukankah kesemua di hidup ini ialah ujian.
Di sini bukan dunia sebenar.
Maka (setelah mengetahui akan ini semua) kenapa masih rasa kosong?
Apa sebenarnya yang mahu dicari?
Ke tahu, apa yang mahu dicari -- cuma tak berani sebab takut ambil tindakan.
Kenapa takut?
Apa yang hilang melainkan masa dan peluang, apabila hidup dibawah ketakutan.
Adakah ketakutan ini yang membawa rasa kosong -- kerana ketakutan untuk berfungsi sebagai Muslim yang sebenar dalam seluruh ruang lingkup -- ketakutan untuk berfungsi sebagai ejen -- ketakutan untuk berfungsi sebagai golongan yang terpelajar -- mempunyai kemahiran -- akhirnya tiada tindakan diambil.
Maka itulah membawa rasa kosong di dalam diri.
Dan hanya mampu berfikir, berfikir, berfikir, tanpa ada sebarang tindakan signifikan.
Tindakan itu apa?
Berfikir lalu bertindak -- maka ertinya ialah sesuatu yang dilakukan di alam fizikal ini.
Itulah tindakan -- yang memberi kesan kepada sesuatu yang lain -- kesan yang diingini.
Comments
Post a Comment